Saya kira desakan untuk Menteri Pengajian Tinggi melepaskan jawatan didasari beberapa faktor utama yang saya rangkumkan seperti berikut.
1. Kegagalan Menteri KPT mengatasi masalah demokrasi kampus yang semakin meruncing dari setahun ke setahun.
a. Pada januari 2010, berlaku tangkapan terhadap sembilan orang mahasiswa yang terlibat dalam himpunan aman menuntut autonomi kampus yang telah berlangsung di Dataran Merdeka. Himpunan tersebut berlangsung disebabkan situasi demokrasi kampus yang mati dengan sekatan pihak universiti yang terlalu mengekang. Sudut Pidato yang sepatutnya boleh dijalankan secara bebas disekat dengan bermacam-macam peraturan sehingga ruang demokrasi tersebut tidak berfungsi.
Pilihanraya Kampus 2010 juga memperlihatkan kemuncak kepada salah guna kuasa pihak universiti apabila calon-calon Pro Mahasiswa di sabotaj sehingga hilang kelayakan untuk bertanding. Lantas Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah menghantar memorandum kepada pihak Menteri KPT pada 26 januari 2010 untuk meneliti semua tuntutan yang dibuat dengan harapan pihak Menteri dapat memberi respon positif. Namun bukan sekadar tidak memberi respon positif, bahkan Menteri tidak langsung memberi respon terhadap semua tuntutan yang dibuat.
Pada tahun 2011 keadaan yang sama berulang. Situasi demokrasi terutamanya semasa Pilihan Raya Kampus masih dalam keadaan yang sangat tidak memuaskan. Pro Mahasiswa Nasional sekali lagi bertandang ke KPT pada 21 Januari yang lalu dengan membawa memorandum dengan tuntutan persis seperti yang pernah diusulkan sebelum ini. Namun hasilnya tetap sama. Egois Menteri Pengajian Tinggi bagi saya sangat menjengkelkan kerana beliau adalah individu yang bertanggungjawab penuh terhadap hal ehwal mahasiswa. Suka atau tidak, beliau seharusnya menunjukkan kepimpinan berjiwa rakyat dengan sekurang-kurangnya memberi respon terhadap tuntutan mahasiswa sebagai tanda prihatin dan professional.
2. Kegagalan Menteri Pengajian Tinggi menyahut cabaran mahasiswa untuk berdialog secara terbuka.
a. Pada 9 Febuari yang lalu, Delegasi Pro M Nasional yang diketuai oleh Mohd Taufik Abdul telah menyerahkan surat jemputan untuk Menteri KPT turun berdialog secara terbuka dengan mahasiswa. Namun malangnya surat tersebut hanya dibalas dengan sms pada keesokan harinya yang menyatakan bahawa Menteri KPT tidak mempunyai kelapangan untuk memenuhi undangan tersebut. Kami di pihak mahasiswa boleh menerima alasan yang diberi, namun dengan sekadar alasan seperti itu, kami merasakan sememangnya tidak ada kesungguhan di peringkat Menteri untuk menanggapi tuntutan mahasiswa secara serius.
3. Terbaru, kehilangan calon mahasiswi Universiti Malaya. Menteri KPT terus membisu.
4. Terdapat individu yang lebih baik untuk menggantikan Menteri KPT sedia ada.
a. Saya kira, semua mahasiswa di Malaysia, baik Pro Mahasiswa mahupun Pro Aspirasi akan bersetuju sekiranya saya mengusulkan nama Saifuddin Abdullah sebagai individu yang perlu menggantikan Menteri KPT sedia ada. Keperihatinan Timbalan Menteri KPT ini jelas kelihatan apabila beliau sangat rapat dengan mahasiswa bukan sahaja melalui saluran formal bahkan melalui jaringan tidak formal. Ini dapat dilihat apabila beliau sangat sensitif dalam isu kemahasiswaan biarpun respon beliau kadangkala bercanggah dengan pendirian di peringkat Kementerian.
Sebagai penutup kepada kenyataan ini, saya memberi jaminan bahawa mahasiswa sudah bosan dengan masalah yang saban tahun berulang. Masalah ini menuntut kepada penyelesaian akar umbi yang bermula daripada penggubal dasar di Putrajaya sehinggalah ke peringkat pelaksana di universiti. Jika rakyat mesir menuntut kemerdekaan dari rejim Mubarak di medan Tahrir, maka mahasiswa tidak akan segan untuk ke Putrajaya bagi menuntut kemerdekaan demokrasi kampus untuk mahasiswa Malaysia.
*Kenyataan media oleh Ahmad Syukri Ab Razab selaku Pengerusi Majlis Politik Nasional Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia.

No comments:
Post a Comment