Seandainya 9 Mac 2008 menandakan permulaan era baru politik Malaysia, dan menjadi pembuka tirai zaman "tsunami politik"; maka hari ini adalah hari terakhir selepas genap tiga tahun "tsunami" berlaku. Apa yang berlaku menjelang ulang tahun ketiga ini adalah kekalahan teruk Pakatan Rakyat dalam dua pilihan raya kecil, malah UMNO mencapai prestasi yang lebih baik daripada PRU tahun 2004 di Kerdau.
Sejauh manakah impak tsunami politik 8 Mac 2008 terhadap perkembangan sejarah kita? Apakah PR bakal kembali kepada bentuk asalnya selepas PRU yang akan datang? Kita perlu membuat penilaian dalam konteks sejarah yang lebih luas, dan bukannya tertumpu kepada apa yang berada di depan mata sahaja - barulah jawapan yang lebih jelas diperolehi. Samuel P. Huntington mengibaratkan "pendemokrasian" sebagai ombak, kerana ada pasang dan surutnya fikrah demokrasi. Ia bukan sahaja berlaku di luar dunia, malah Malaysia juga tidak terkecuali.
Sistem dua parti
Pada awal pembentukan Tanah Malaya (Malaysia), Barisan Sosialis (SF) danMalaysian Solidarity Covention (MSC) yang didominasi PAP pernah cuba untuk membentuk pakatan yang melangkaui batas etnik untuk menentang Perikatan (yang didominasi UMNO). Namun, SF hanya wujud untuk dua penggal, berpecah kerana isu bahasa; sementara MSC pula wujud hanya sekelip mata, menghembus nafas terakhirnya selepas Singapura diusir dari Persekutuan Malaysia.
Peluang pertama untuk pertukaran kerajaan wujud pada tahun 1990. Tengku Razaleigh Hamzah (Kuli) diusir oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad dari UMNO. Kuli cuba memimpin dua barisan pembangkang melalui Semangat 46. Salah satu daripadanya adalah Gagasan Rakyat yang dibentuk bersama DAP; dan satu lagi adalah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang ditunjangi PAS. Ini kerana DAP dan PAS pantang duduk sebumbung ketika itu. Gagasan Rakyat akhirnya terbubar sebelum PRU tahun 1995, malah APU dibubuh noktah setelah Kuli kembali ke pangkuan UMNO, setahun selepas PRU tahun 1995.
Jatuh bangun dalam 16 PRK
Seandainya PRK ini berlangsung di kawasan MCA atau Gerakan, hampir pasti BN akan kecundang. Untuk memahami perubahan hasrat rakyat melalui PRK dengan lebih sempurna, kita perlu mengkaji keputusan pilihan raya yang lalu di kawasan tersebut. Selain Sarawak, kawasan DUN dan parlimen di seluruh negara tidak disempadankan semula sejak tahun 2003. Jadi kita boleh bandingkan keputusan PRK PR dengan keputusan PRU tahun 2004 (kemuncak BN), dan PRU tahun 2008 (kemuncak pembangkang, sewaktu "tsnami politik").
Dari rajah di atas, kekencangan PR menyusuli tsunami telah menjadi lemah ketika PRK Penanti pada 31 Mei 2009. Walaupun mungkin menggerunkan BN sebelum ini, sehingga tidak mengambil bahagian dalam PRK buat kali pertamanya. Namun, PR telah kembali ke paras asalnya semasa PRK Manek Urai, dengan kemenangan yang tipis.
Seandainya ada lagi PRK sebelum genap tiga tahun Dewan Rakyat bersidang, malah kebetulan di kawasan Cina, maka PR mungkin dapat mengembalikan semangatnya, sebagaimana dalam PRK Sibu. Sememangnya PRK sukar diduga, tetapi sudah pasti pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan dalam masa terdekat. Jadi, pilihan raya Sarawak bakal menjadi peluang terakhir PR untuk menaikkan semangatnya.
Sarawak penentu kemenangan dan kekalahan?
Dalam pilihan raya negeri Sarawak yang lalu, pembangkang memenangi 9 kerusi daripada 71 kerusi, prestasi pembangkang yang terbaik sejak tahun 1987. SUPP menjadi MCA di Sarawak, dan menjadi pentanda pertama tsunami politik pada tahun 2008.
Di kawasan bandar pula, angin yang kencang bertiup di kawasan majoriti Cina. SUPP mungkin tenggelam di selatan Sarawak (sekitar Kuching), dan pertarungan sengit di kawasan pertengahan Sarawak (sekitar Sibu) - mungkin mengulangi keputusan PRK Sibu. SUPP hanya mungkin menang di bahagian utara Sarawak (sekitar Miri).
Dalam keadaan sedemikian, DAP dijangka merangkul 10-14 kerusi, dan PKR mungkin berjaya merampas kira-kira 10 kerusi. Seandainya PR bekerjasama untuk merampas sekurang-kurangnya 20 kerusi, biarpun mungkin belum cukup untuk menafikan dua pertiga, namun tetap menggemparkan.
Maka Taib Mahmud semestinya berdepan dengan tekanan untuk berundur, dan tercetusnya pergelutan kuasa yang baru. Paling penting, seandainya kuasa kerajaan negeri BN di Sarawak tergugat, maka ia bukan lagi "deposit tetap" untuk BN dalam PRU akan datang. Semangat PR akan teruja, dan tekanan itu beralih kepada BN. Justeru itu, biarpun BN kekal berkuasa, namun PR masih mampu mengekalkan kerusinya yang hampir satu pertiga dalam Dewan Rakyat.
Mengapa dikatakan Sarawak bakal menjadi penentu kemenangan atau kekalahan PR? Ini kerana seandainya harapan untuk menawan Putrajaya berkecai, maka ketiga-tiga parti politik akan kembali kepada asasnya, lantas mencungkil kontradiksi antara tiga parti. Apakah pengharaman perjudian oleh PAS adalah reaksi spontan terhadap kekalahan PRK yang berturut-turut? Jikalau BN kekal kukuh di Malaysia Timur, PAS yang hilang harapan untuk menawan Putrajaya akan menekankan dasar islamnya - untuk selamatkan dirinya. Adakah DAP akan kompromi dengan keadaan itu? Jadi, apakah manifesto yang ingin diketengahkan PR ketika itu? Apakah mungkin PR tidak kalah?
*Wong Chin Huat ialah pengkaji politik dan kolumnis MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 8 Mac 2011.
No comments:
Post a Comment